JOHOR BAHRU: Tindakan tegas Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor sekali lagi membuktikan komitmen mereka dalam membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) apabila seramai 41 warga asing ditahan dalam satu operasi mengejut di Skudai, Johor Bahru, malam tadi.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang dikenali sebagai Ops Sapu itu bermula pukul 11.00 malam dan melibatkan 30 pegawai penguat kuasa.
Menurut beliau, pemeriksaan menyeluruh dilakukan di premis perniagaan dua tingkat yang dijadikan tempat tinggal oleh warga asing.
“Ada antara mereka cuba melarikan diri dan bersembunyi, namun berjaya diberkas hasil risikan berterusan pihak imigresen.
“Daripada jumlah tangkapan, seramai 07 lelaki Indonesia, 19 lelaki Myanmar, 11 wanita Myanmar dan 04 wanita Indonesia berusia antara 16 hingga 49 tahun didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Mohd Rusdi menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang imigresen.
“Selaras dengan aspirasi kerajaan MADANI, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” katanya.








