Tiga Cedera, Seorang Parah Dalam Insiden Tembakan Di Klang

KLANG: Taman Seri Kapar, Klang digemparkan dengan insiden tembakan yang mengakibatkan tiga individu cedera termasuk seorang parah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki bermotosikal disyaki melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori.

Dalam kekecohan itu, seorang saksi yang memandu kenderaan pacuan empat roda bertindak merempuh motosikal suspek, menyebabkan kecederaan tambahan.

“Keadaan berlaku antara pukul 9 hingga 9.30 pagi. Siasatan awal menunjukkan terdapat rempuhan terhadap motosikal yang dipercayai terlibat dalam tembakan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Rakaman video insiden yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki terbaring di lokasi kejadian, sementara anggota polis menjalankan siasatan.

Shazeli berkata, identiti dan status suspek masih belum dapat dipastikan kerana kerja forensik sedang dijalankan.

“Kami masih belum dapat mengesahkan butiran suspek termasuk umur dan identiti.

“Selepas kerja forensik selesai, barulah kita boleh sahkan motif serta rampasan yang terlibat,” tambahnya.

Pasukan forensik dan pegawai penyiasat kini berada di lokasi bagi mengumpul bukti serta menjalankan siasatan lanjut.

Polis turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan.

Insiden ini sedang disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan dan pihak polis berjanji akan mengeluarkan kenyataan lanjut sebaik siasatan selesai.

Anda Mungkin Berminat