KJ Serah Surat Rayuan Kembali Sertai UMNO

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau telah menerima surat rayuan daripada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk kembali menyertai UMNO.

Dalam hantaran di Facebook, Ahmad Zahid memaklumkan surat itu diserahkan ketika Khairy hadir bertemu beliau pada Ahad.

“Dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan semalam (Ahad), saya menerima kunjungan saudara Khairy Jamaluddin, yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, pertemuan tersebut membawa makna mendalam kerana ia mencerminkan semangat Rumah Bangsa iaitu sebuah usaha untuk menemukan semula yang terpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan serta menghimpunkan mereka dalam satu keluarga besar perjuangan.

Beliau berkata, permohonan Khairy akan diserahkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan.

“Dalam perjalanan perjuangan ini, seperti yang sering saya sebut – biduk lalu, kiambang bertaut.

“Yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita,” katanya.

Ahmad Zahid turut berharap agar Rumah Bangsa menjadi asas kepada UMNO dalam mempertemukan semula hati-hati yang pernah terpisah, memperkukuh saf perjuangan serta mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air.

Anda Mungkin Berminat