Murid perlu jaga kebersihan tandas, bukan kerja tukang cuci sahaja- Anwar

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua murid perlu dididik untuk menjaga kebersihan termasuk melibatkan diri dalam aktiviti membersihkan tandas di sekolah.

Beliau berkata, tanggungjawab menjaga kebersihan tidak seharusnya dilihat berdasarkan kelas sosial atau latar belakang keluarga.

“Tandas kita guna, kita juga perlu bersihkan,” katanya dipetik Kosmo selepas Anwar menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, pada Jumaat.

Menurutnya, terdapat segelintir ibu bapa yang membantah perkara itu di media sosial, namun beliau menasihatkan agar semua pihak memberi kerjasama dalam mendidik anak-anak.

Katanya, amalan itu penting bagi membentuk sikap tanggungjawab dan disiplin dalam kalangan pelajar.

Beliau turut menegaskan tugas menjaga kebersihan tidak wajar dianggap sebagai kerja tukang cuci semata-mata.

“Jangan anggap itu kerja tukang cuci sahaja, seolah-olah ada kelas dalam masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan mengarahkan agar sekolah menyediakan jadual pembersihan tandas melibatkan murid sebagai usaha memastikan kebersihan fasiliti sekolah sentiasa terjaga.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat