Trump puji langkah Iran, kapal di Selat Hormuz kekal waspada

TEHRAN: Iran mengumumkan Selat Hormuz kini dibuka kepada laluan kapal ketika gencatan senjata di Lubnan masih berkuat kuasa, namun situasi sebenar di perairan strategik itu dilihat masih tidak stabil.

Menteri Luar Iran memaklumkan laluan penting tersebut “terbuka” sekitar jam 13:00 GMT, sekali gus mencetuskan reaksi positif dalam pasaran global yang menyaksikan harga minyak menurun.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, turut mengalu-alukan perkembangan itu menerusi beberapa hantaran di platform Truth Social, namun menegaskan sekatan terhadap pelabuhan Iran akan terus dikekalkan sehingga perjanjian penuh antara Washington dan Tehran dimeterai.

Walaupun terdapat isyarat positif, Ketua International Maritime Organization memberi amaran supaya industri perkapalan kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan keselamatan di kawasan tersebut.

Laporan juga menyebut masih terdapat kesesakan besar kapal di Teluk Parsi, dengan data penjejakan maritim menunjukkan hanya sebilangan kecil kapal yang benar-benar melalui Selat Hormuz pada Jumaat.

Dalam masa sama, pegawai Iran memaklumkan bahawa pergerakan kapal mungkin tertakluk kepada syarat tertentu, termasuk keperluan mengikuti laluan yang ditetapkan.

Sementara itu, Trump memberi gambaran optimistik mengenai rundingan semasa antara Amerika Syarikat dan Iran, dengan mendakwa Tehran telah “bersetuju dengan segala perkara”, termasuk pemindahan uranium diperkaya keluar dari negara itu.

Namun, dakwaan tersebut disangkal oleh pegawai kanan Iran yang menegaskan tiada persetujuan sedemikian dicapai setakat ini.

Perkembangan terbaharu ini berlaku dalam konteks konflik serantau yang lebih luas, dengan penganalisis menjangkakan gencatan senjata di Asia Barat berpotensi membuka ruang kepada kemajuan dalam rundingan diplomatik antara kedua-dua negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat