“Tak tanya siapa anda” – Anwar tegaskan bantuan untuk semua

Oleh: Tyah Helmi

KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Madani komited menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi secara segera tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik.

Menerusi ucapan pada Sabtu, Anwar menjelaskan pendekatan Kerajaan Madani ketika ini menumpukan kepada tindakan pantas dalam menangani isu asas seperti infrastruktur kampung, termasuk pembinaan jambatan serta pembaikan kemudahan awam.

“Apabila ada masalah, kita tidak bertanya siapa penduduknya atau latar belakang mereka. Arahan diberikan untuk disiapkan segera, dan hasilnya dapat dilihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Mini Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kota Bharu Kelantan.

Tegas beliau, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan setiap janji yang dibuat diterjemahkan kepada pelaksanaan, bukan sekadar retorik semata-mata.

“Perjuangan itu bukan sekadar bicara, tetapi melaksanakan apa yang diperkatakan. Ini yang membezakan kita sebagai kerajaan yang benar-benar menyampaikan hasil,” jelasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui negara kini berdepan cabaran ekonomi, namun menegaskan kebajikan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah tetap menjadi keutamaan.

“Kita mungkin tidak berada dalam keadaan ekonomi yang begitu kukuh seperti dahulu, tetapi masalah rakyat di bawah tetap diberi perhatian serius,” ujarnya.

Beliau turut menekankan usaha kerajaan dalam menangani isu kemiskinan tegar yang menurutnya kini menunjukkan perkembangan positif di beberapa daerah.

“Kita bermula dengan golongan paling miskin. Di beberapa lokasi yang dilawati sebelum ini, banyak kes kemiskinan tegar telah berjaya diselesaikan,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun negara telah mencapai kemerdekaan lebih 70 tahun, usaha membasmi kemiskinan memerlukan dasar yang jelas serta pelaksanaan yang berkesan.

“Tiada alasan untuk kita membiarkan golongan paling miskin terus terpinggir, walaupun mereka bukan penyokong atau ahli parti. Ini adalah tanggungjawab kerajaan,” tegasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat