SHAH ALAM: Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, mengecam keras tindakan sebuah hantaran di media sosial yang menyunting imej seekor khinzir dengan pakaian istiadat Istana dan mengaitkannya dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau menyifatkan perbuatan itu bukan sahaja tidak beradab, malah melanggar norma serta tata susila sebagai rakyat Malaysia.
“Tindakan menyamakan manusia dengan sifat binatang adalah keterlaluan dan boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat berbilang kaum,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, perbuatan sedemikian berpotensi mengganggu keharmonian dan perpaduan negara jika tidak ditangani segera.
Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat.
“Saya menyeru pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan segera supaya pesalah dikenakan hukuman setimpal mengikut undang-undang,” katanya.
Ng turut mengingatkan orang ramai agar lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial.
“Elakkan daripada mengeluarkan kenyataan atau gambaran yang menghina dan boleh menjejaskan maruah mana-mana pihak,” katanya.








