TOKYO: Penduduk di utara Jepun dikejutkan oleh gempa bumi berukuran 6.2 magnitud yang melanda wilayah Hokkaido pada awal pagi Isnin, namun Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengesahkan tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Menurut JMA, gempa berlaku pada pukul 5.23 pagi waktu tempatan dengan kedalaman kira-kira 83 kilometer, mencatatkan bacaan 5 atas pada skala intensiti seismik Jepun di wilayah Tokachi.
Bacaan itu menunjukkan gegaran kuat sehingga menyukarkan orang ramai untuk berjalan tanpa berpaut.
“Tiada ancaman tsunami dikesan, namun penduduk dinasihatkan berwaspada terhadap gegaran susulan serta risiko tanah runtuh,” kata JMA dalam kenyataan rasmi.
Kyodo News melaporkan beberapa perkhidmatan kereta api di bandar Obihiro terganggu akibat gegaran, namun setakat ini tiada laporan kematian atau kerosakan besar.
Gempa ini berlaku hanya sehari selepas gegaran 5.0 magnitud dikesan di selatan Hokkaido, sekali gus menambah kebimbangan susulan amaran JMA minggu lalu mengenai kemungkinan berlakunya megaquake berukuran lebih 8.0 magnitud selepas gempa kuat 7.7 di Iwate pada 20 April.
Untuk info, Jepun, yang terletak di atas ‘Ring of Fire’ Pasifik, merekodkan kira-kira 1,500 gempa bumi setiap tahun, iaitu hampir 18 peratus daripada jumlah global.







