Anwar tekankan kualiti insan, bukan sekadar angka pelajar asing

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan aspek kualiti insan perlu terus menjadi keutamaan dalam pembangunan pendidikan tinggi negara, meskipun Malaysia kini menjadi antara destinasi utama pelajar antarabangsa di rantau ini.

Beliau berkata, dengan lebih 160,000 pelajar asing, yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN, kejayaan itu tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah, sebaliknya keupayaan institusi melahirkan graduan berilmu dan berakhlak.

“Tanggungjawab kita bukan sekadar menarik pelajar luar, tetapi memastikan universiti kita mempunyai mutu yang melayakkan mereka sebagai institusi pendidikan tinggi sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Temu Anwar dan peluncuran pembinaan baharu Universiti UCSI, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar institusi pendidikan tinggi tidak tersasar daripada matlamat asal sehingga hanya berfungsi sebagai pengeluar sijil semata-mata.

“Kita perlu berhati-hati supaya universiti tidak menjadi sekadar ‘kilang sijil’. Saya minta Kementerian Pendidikan Tinggi memantau dengan rapi,” katanya.

Mengulas perkembangan pesat teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan pertumbuhan pusat data, beliau menegaskan kemajuan itu tidak boleh mengabaikan pembentukan nilai kemanusiaan.

“Negara sedang memacu pertumbuhan teknologi baharu, tetapi ini tidak boleh meremehkan kepentingan mendidik manusia. Nilai kemanusiaan, etika dan akhlak mesti dirangkul sebagai kekuatan,” katanya.

Menurut beliau, cabaran utama ketika ini adalah menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan pembinaan sahsiah dan nilai budaya.

“Sementara kita menggapai kemajuan, kita tidak boleh meninggalkan landasan budaya, sahsiah dan nilai akhlak. Di situlah keunikan kita,” katanya lagi.

Beliau menambah, elemen seni, budaya dan muzik juga penting dalam membentuk insan seimbang selaras dengan aspirasi pembangunan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat