PKR lancar sistem AI “TERAS”, siap siaga hadapi PRN dan PRU

PETALING JAYA: Usaha memperkukuh kesiapsiagaan jentera pilihan raya terus diperkasakan apabila satu sistem pengurusan baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) dilancarkan oleh PKR menerusi Majlis Peluncuran Sistem Pengurusan Pilihan Raya “TERAS”.

Program yang berlangsung di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, di sini, itu disifatkan sebagai langkah strategik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, khususnya di Johor.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, sistem “TERAS” dibangunkan sepenuhnya oleh KEADILAN sebagai platform moden bagi mempertingkat kecekapan pengurusan pilihan raya parti.

“Sistem ini merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan parti, dengan pendekatan berasaskan teknologi AI yang lebih cekap, telus dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Menurut beliau, pelbagai penerangan telah diberikan sepanjang program mengenai fungsi dan keupayaan sistem tersebut dalam membantu gerak kerja jentera di semua peringkat.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh struktur organisasi, malah menunjukkan kesediaan parti untuk bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan sistem berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pengurusan data dan strategi pilihan raya yang lebih tersusun serta efisien.

Program berkenaan turut menjadi platform pertemuan kepimpinan dan jentera parti dalam memperkukuh semangat serta komitmen menjelang PRN dan PRU akan datang.

“Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat