KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, menzahirkan rasa kagum terhadap keindahan dan kekayaan warisan Islam di Uzbekistan sepanjang lawatan rasmi baginda pada 7 Mei 2026.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim, Baginda bertitah, pengalaman membesar di Malaysia serta pendidikan di United Kingdom telah membentuk pandangan luas terhadap pelbagai budaya dunia, namun lawatan ke Asia Tengah ini membuka lembaran baharu yang amat bermakna.
Baginda turut menzahirkan kekaguman terhadap kebersihan bandar-bandar di Uzbekistan serta keindahan landskap yang dipenuhi taman dan bunga-bungaan yang terpelihara dengan baik.
“Setiap orang yang kami temui telah menunjukkan kemesraan serta layanan yang luar biasa kepada kami,” titah baginda.
Baginda turut memuji kehalusan seni bina serta kraftangan tempatan yang mempunyai nilai seni tinggi, termasuk ukiran kayu, lukisan dan tekstil tradisional yang dipamerkan di kedai cenderamata sekitar Tashkent.
Lawatan ke Pusat Ketamadunan Islam memberi kesan mendalam kepada baginda apabila ia memperlihatkan keluasan ilmu para ilmuwan Islam serta kegemilangan tamadun terdahulu.
“Pusat tersebut benar-benar mencerminkan keluasan ilmu para cendekiawan Zaman Kegemilangan Islam,” titah baginda lagi.
Selain itu, baginda turut terpesona dengan keindahan Dataran Registan di Samarkand serta Kompleks Imam Bukhari yang sarat dengan nilai sejarah dan seni bina Islam.
“Keindahannya membuatkan saya cukup terpaku,” titah baginda mengenai lawatan ke kawasan bersejarah tersebut.
Baginda turut menyatakan hasrat untuk kembali ke Uzbekistan bersama keluarga serta berharap negara itu terus diberkati kerana memelihara warisan ilmu Islam untuk generasi akan datang.
Baca juga:








