JAIS Tetap Hargai Jasa Guru, Sambutan Peringkat Negeri 21 Mei

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan bahawa jasa dan sumbangan guru tetap dihargai meskipun sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah tidak dibenarkan diadakan tahun ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan itu dibuat melalui surat edaran bertarikh 7 Mei 2026 kepada semua Pegawai Tadbir Agama Daerah di Selangor.

“JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor sentiasa dan sangat menghargai jasa dan sumbangan para guru JAIS dalam mendidik pelajar-pelajar di bawah kelolaannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebagai pengiktirafan, Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor akan diadakan pada 21 Mei 2026 dengan kos melebihi RM200,000 daripada peruntukan MAIS dan Kerajaan Negeri.

Katanya lagi, majlis itu akan mengiktiraf tokoh guru serta sekolah cemerlang melalui pemberian tunai atau geran.

Langkah menangguhkan sambutan di peringkat sekolah dan daerah, jelas JAIS, selaras dengan saranan kerajaan agar rakyat berbelanja secara berhemah dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik semasa.

Malah, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut menitahkan agar rakyat “melakukan perbelanjaan mengikut keperluan dan keutamaan, berhemah serta bijaksana.”

JAIS berkata, keputusan itu dibuat kerana tradisi pemberian hadiah oleh ibu bapa atas permintaan anak-anak memberi kesan kewangan kepada keluarga.

“JAIS melihat perkara ini perlu dihentikan dalam keadaan sekarang kerana ia memberi kesan kewangan kepada ibu bapa atau penjaga,” jelas kenyataan itu.

Namun, JAIS tidak menutup pintu untuk mengembalikan sambutan di peringkat sekolah dan daerah apabila keadaan kembali stabil.

Format baharu yang lebih ringkas dan tidak mengganggu jadual pembelajaran akan dipertimbangkan.

Anda Mungkin Berminat