UAE Tangguh Pengeluaran Gas Penuh Hingga 2027 Akibat Serangan Iran

ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan bahawa pengeluaran gas negara itu tidak akan kembali sepenuhnya sehingga tahun 2027 selepas kompleks pemprosesan utama mereka terjejas akibat serangan Iran.

Menurut laporan antarabangsa Al Jazeera, serangan yang berlaku dalam konteks konflik perang melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah menjejaskan operasi di kompleks Habshan, Abu Dhabi, di mana salah satu fasiliti pengeluaran gas terbesar dunia.

“Syarikat sedang berusaha untuk mencapai pemulihan 80 peratus menjelang akhir 2026 dengan kapasiti penuh dijangka pulih sepenuhnya pada 2027,” kata Syarikat minyak dan tenaga milik kerajaan, Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC).

Kini, fasiliti Habshan hanya beroperasi pada kapasiti sekitar 60 peratus.

Selain itu, ADNOC turut melaporkan pendapatan bersih sebanyak $1.1 bilion, iaitu penurunan 15 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.

“Penurunan ini disebabkan oleh ketidakpastian serantau yang meningkat dan keadaan pasaran yang sukar, memandangkan sektor tenaga menghadapi gangguan besar akibat sekatan Iran ke atas Selat Hormuz,” katanya.

Difahamkan, kompleks Habshan telah beberapa kali menjadi sasaran serangan sepanjang perang dengan operasi dihentikan sekurang-kurangnya tiga kali selepas kebakaran tercetus akibat serpihan misil.

Iran dilaporkan lebih kerap mensasarkan UAE berbanding negara lain, melancarkan serangan dron dan misil ke atas aset AS serta infrastruktur awam termasuk lapangan terbang dan fasiliti tenaga.

Anda Mungkin Berminat