Hina sahabat Nabi: Wadah mahu tindakan terhadap pemimpin PAS

PETALING JAYA: Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan kenyataannya yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.

Timbalan Presiden Wadah, Hasri Harun berkata, pihaknya mengecam kenyataan yang disampaikan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu dalam satu ceramah politik kerana didakwa memperlekeh, merendahkan serta mempersendakan sahabat Rasulullah SAW.

Menurut beliau, para sahabat merupakan generasi terbaik umat Islam yang dipilih Allah SWT untuk mendampingi Rasulullah SAW serta menyampaikan risalah Islam kepada umat manusia.

“Wadah menggesa pihak berkuasa dan institusi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang sengaja menimbulkan kebencian terhadap tokoh-tokoh Islam yang mulia ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Nik Muhammad Zawawi dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah kehidupan yang buruk sebelum memeluk Islam.

Antara lain, beliau didakwa menggambarkan Saidina Abu Bakar sebagai seorang ‘bapa ceti’ yang gemar menindas golongan miskin pada zaman Jahiliah, manakala Saidina Umar pula didakwa sebagai seorang yang zalim serta gemar melakukan maksiat sebelum memeluk Islam.

Difahamkan, kenyataan itu dibuat ketika satu program ceramah politik di Kuala Terengganu pada hujung minggu lalu.

Mengulas lanjut, Hasri berkata, usaha mencemarkan nama baik para sahabat bukan sahaja bertentangan dengan adab Islam, malah berpotensi menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam serta menggugat keharmonian masyarakat.

Beliau turut mempersoalkan tujuan membangkitkan sejarah silam para sahabat sebelum kedatangan Islam, lebih-lebih lagi apabila kesahihan fakta yang dibangkitkan itu masih dipertikaikan.

“Allah SWT lebih mengetahui keadaan mereka sehingga dipilih untuk bersama Rasulullah SAW dalam membangunkan Islam yang manfaatnya terus dinikmati umat hingga ke hari ini,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat