KUALA PILAH: Sebuah pusat rekreasi air di daerah ini diarahkan ditutup sementara sehingga 17 Mei selepas empat kes disyaki Leptospirosis dilaporkan melibatkan pengunjung yang menjalankan aktiviti air di kawasan berkenaan.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), semua pesakit mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan sakit otot selepas mengunjungi taman rekreasi tersebut.
Daripada empat kes yang direkodkan, seorang pesakit dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut manakala tiga lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar.
JKNNS berkata, sampel klinikal telah diambil bagi tujuan ujian pengesahan, manakala penilaian risiko mendapati kawasan rekreasi itu mempunyai persekitaran yang kondusif untuk penularan penyakit berjangkit tersebut.
“Sebagai langkah kawalan dan pencegahan, kawasan rekreasi itu ditutup bermula 10 Mei hingga 17 Mei bagi membolehkan kerja pembersihan dan penyelenggaraan dijalankan,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Leptospirosis ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Leptospira dan boleh merebak kepada manusia melalui pendedahan kepada air, tanah atau makanan yang tercemar dengan air kencing haiwan.
JKNNS menasihatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengelakkan aktiviti air sekiranya mempunyai luka terbuka serta mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala selepas mengunjungi kawasan rekreasi.








