Pemandu Traktor Maut Terjunam Ke Cerun Bukit Di Teluk Bahang

TELUK BAHANG: Seorang lelaki berusia 49 tahun maut selepas traktor yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke cerun bukit sedalam kira-kira 15 meter tengah hari tadi.

Mangsa ketika itu sedang menjalankan kerja-kerja pertanian di kawasan berbukit berkenaan sebelum kenderaan berat itu terbabas.

Akibat impak kuat, mangsa tersepit di dalam traktor dan tidak sedarkan diri.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dikerahkan ke lokasi.

Operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas serta PPE lengkap kerana keadaan cerun yang curam dan mencabar.

Mangsa berjaya dikeluarkan selepas usaha berhemah pasukan penyelamat, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah.

Mayat kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

Kes kini diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Anda Mungkin Berminat