Tiada perbincangan kurang kuota BUDI95 setakat ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan setakat ini belum membincangkan sebarang cadangan untuk mengurangkan kuota subsidi petrol RON95 menerusi program Budi MADANI (BUDI95) dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, fokus kerajaan ketika ini adalah memastikan sistem subsidi sedia ada terus berfungsi secara efektif bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup susulan ketidaktentuan ekonomi dan harga pasaran global.

“Setakat ini tiada perbincangan mengenai sebarang pengurangan kuota BUDI95.

“Kerajaan sedang memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan penambahbaikan mekanisme pengurusan subsidi supaya lebih bersasar serta dapat mengurangkan ketirisan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor bertajuk Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda di Asia School of Business pada Khamis.

Menurut beliau, kerajaan kini sedang memperkukuh langkah mitigasi termasuk menambah baik mekanisme subsidi diesel yang dilaksanakan menerusi kaedah seperti BUDI.

Katanya, sebarang perubahan dasar berkaitan subsidi bahan api hanya akan diumumkan secara rasmi selepas dimuktamadkan oleh kerajaan.

“Apabila keputusan dibuat nanti, kerajaan akan mengumumkannya secara jelas. Buat masa ini, tumpuan adalah kepada pelaksanaan dan penambahbaikan sistem sedia ada,” katanya lagi.

Akmal turut menjelaskan bahawa pendekatan subsidi ketika ini perlu mengambil kira keseimbangan antara kebajikan rakyat dan kedudukan fiskal negara agar kekal mampan, terutama dalam keadaan harga tenaga global yang masih tidak menentu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat