UEC: Akses Pendidikan Perlu Diperluas, Bukan Disekat – Anthony Loke

KUALA LUMPUR: Akses pendidikan tinggi di Malaysia mesti diperluas dan tidak boleh dinafikan kepada mana-mana kelompok pelajar termasuk lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang memiliki Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, kerajaan kini membuka laluan kepada lepasan SMPC untuk melanjutkan pengajian dalam program terpilih di universiti awam, selaras dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar daripada sistem pendidikan di luar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Anthony turut menyelar tindakan pembangkang yang membantah dasar tersebut, sambil menegaskan ia bercanggah dengan usaha memperluas peluang pendidikan kepada anak muda.

“Hala tuju dasar ini sangat jelas, kita mahu menambah akses rakyat Malaysia kepada pendidikan tinggi supaya lebih ramai anak muda mempunyai peluang membina masa depan lebih baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau berkata, dasar berkenaan bukan hanya melibatkan lepasan UEC, malah turut membuka peluang kepada pemegang Sijil Tahfiz untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Menurut Anthony, keputusan itu selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam melahirkan lebih ramai bakat dan modal insan untuk masa depan negara.

“Pendidikan bukan alat politik. Pendidikan adalah harapan masa depan negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat