AMK desak siasat dakwaan dana asing biayai politik tempatan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menuntut siasatan penuh terhadap dakwaan penyaluran dana asing kepada ahli politik, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan bagi tujuan politik.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim menyatakan terdapat satu pendedahan baru-baru ini berhubung aliran dana dari The Tides Foundation berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) ke sebuah syarikat tempatan, MANDIRI Development Centre Sdn. Bhd. (MANDIRI) dan ia didakwa membabitkan operasi propaganda politik, aktiviti tentera siber serta mobilisasi protes jalanan.

“Perkara ini bukan lagi boleh dianggap sekadar polemik politik biasa. Ia menyentuh soal keselamatan, kedaulatan politik serta kestabilan institusi demokrasi negara.

“Mana-mana gerakan yang menerima dan menyalahguna pembiayaan luar untuk mencatur naratif politik domestik secara tersusun perlu disiasat secara menyeluruh dan telus tanpa kompromi,” katanya menerusi kenyataan media pada Ahad.

Kata beliau, tular beberapa maklumat mendakwa terdapat sejumlah RM1.5 juta telah disalurkan melalui tiga transaksi antara November 2024 hingga Jun 2025.

“Maklumat tersebut juga mendakwa bahawa sepanjang tahun 2024 hingga 2025, sebanyak tujuh transaksi berjumlah RM 686,729.00 telah dibuat terhadap Amir Hariri Bin Abd Hadi dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan MANDIRI,” ujarnya.

Kamil Munim menegaskan, sebarang penggunaan dana asing dengan alasan kebebasan atau demokrasi tidak boleh menghalalkan kegiatan yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

“Malaysia tidak boleh dijadikan medan eksperimen geopolitik pihak asing.

“Campur tangan sebegini berpotensi menjejaskan ekonomi rakyat, keyakinan pelabur, dan kestabilan sosial negara,” tegas beliau.

Sehubungan itu, AMK mendesak agar Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia dan agensi keselamatan berkaitan menjalankan siasatan bebas dan terperinci terhadap semua pihak yang dikaitkan. Sebarang pelanggaran undang-undang perlu dikenakan tindakan tegas di bawah Kanun Keseksaan, AMLA dan Akta Pertubuhan 1966.

Katanya, rakyat berhak mendapat penjelasan tuntas manakala tindakan penguatkuasaan perlu diambil segera bagi memastikan kedaulatan negara tidak dipersoalkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat