JOHOR BAHRU: Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 yang berlangsung hari ini disifatkan sebagai platform terbaik untuk pimpinan dan anggota gabungan itu merangka formula serta pendekatan baharu bagi menjamin masa depan Malaysia yang lebih gemilang.
Pengarah Konvensyen PH 2026, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penganjuran semula konvensyen selepas empat tahun memberi peluang kepada seluruh perwakilan menghimpunkan idea, tenaga dan cadangan demi kepentingan rakyat.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, konvensyen itu turut menjadi medan penting untuk menilai pencapaian Kerajaan MADANI yang menurutnya semakin menunjukkan hasil positif.
“Konvensyen ini adalah peluang terbaik untuk kita mengumpulkan tenaga, idea serta mempersembahkan formula dan rekayasa yang perlu diusahakan demi masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Konvensyen PH 2026 di Persada Johor International Convention Centre hari ini.
Menurut Fahmi, konvensyen kali ini turut memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.
Katanya, perwakilan akan mendengar amanat serta mesej penting daripada Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung hala tuju gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.
“Bukan sahaja untuk Pilihan Raya Umum, malah juga pilihan raya negeri yang mungkin berlangsung tidak lama lagi termasuk soal jumlah kerusi yang mahu ditandingi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua perwakilan supaya memperkukuh iltizam dalam usaha membina sebuah negara yang adil serta membawa pulang semangat baharu kepada akar umbi selepas tamat konvensyen.
Bertemakan “Tekad MADANI, Harapan Rakyat”, Konvensyen PH 2026 menghimpunkan kira-kira 5,000 perwakilan dan pimpinan dari seluruh negara.
Selain Anwar, antara pemimpin dijadual menyampaikan ucapan ialah Anthony Loke, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Baca juga:







