Anwar: PH sedia lawan semua kerusi jika BN pilih bertempur

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan kesediaan untuk bertanding di semua kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya berdepan saingan terus dengan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat susulan kenyataan BN Johor yang mahu bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.

Menurut beliau, PH tidak gentar untuk berdepan sebarang kemungkinan termasuk pilihan raya lebih awal sekiranya situasi politik memerlukan.

“Kita dimaklumkan BN-UMNO mahu bertanding semua kawasan di Johor. Saya tidak terkejut kerana perkara itu sudah dipantau lebih awal. Itu keputusan mereka.

“Kalau mereka pilih untuk bertempur di Johor, maka PH hari ini mengambil keputusan tegas untuk bertanding di semua kawasan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Persada Johor International Convention Centre pada Ahad.

Anwar berkata, pendekatan sama akan diambil di beberapa negeri lain termasuk Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.

“Negeri Sembilan kita lawan semua, Selangor lawan semua, Pulau Pinang lawan semua, Pahang juga semua.

“Tetapi kalau rundingan berjalan baik, kita tetap memilih politik yang stabil demi menyelamatkan negara,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan masih terdapat ruang rundingan antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Dalam masa sama, Anwar turut memberi bayangan kemungkinan Pilihan Raya Umum diadakan lebih awal sekiranya hubungan politik antara parti-parti gabungan terus bergolak.

“Kalau beginilah cara hubungan diperkotak-katikkan, mungkin PRU seluruh negara diadakan.

“Tarikh pilihan raya memang kuasa Perdana Menteri, tetapi saya tetap akan mendengar pandangan dan nasihat rakan-rakan pimpinan,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor akan datang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat