MENGAPA ada dakwaan bahawa sebahagian warga asing di Malaysia kini bukan sekadar bekerja, tetapi turut berniaga, menjadi kontraktor kecil, malah terlibat dalam sektor e-hailing dan perkhidmatan penghantaran?
Persoalan ini mencuri perhatian selepas satu perkongsian di platform Thread oleh pengguna @royselva1705 membangkitkan isu kedudukan pekerja asing dalam struktur ekonomi negara.
Dalam hantaran itu, penulis mendakwa berlaku perubahan ketara dalam pola ekonomi sebahagian komuniti pekerja asing dari beberapa negara, yang kini dilihat lebih aktif dalam aktiviti ekonomi kecil dan tidak formal.
“Kenapa ekonomi warga asing di Malaysia boleh berkembang sampai mampu berniaga, sedangkan di negara jiran perkara ini hampir mustahil berlaku?” soalnya.
Penulis turut membandingkan situasi di Malaysia dengan Singapura dari segi pendekatan undang-undang dan kawalan terhadap pekerja asing, yang menurutnya memberi kesan kepada ruang ekonomi yang boleh diceburi.
“Sistem permit dan kuota buruh asing dilihat seperti lubuk emas kepada pihak tertentu yang mempunyai akses dan jaringan kuasa,” tulisnya.
Isu penguatkuasaan turut disentuh, dengan dakwaan bahawa terdapat kelonggaran dalam sistem yang membuka ruang kepada aktiviti ekonomi tidak formal.
“Bila penguatkuasaan tidak begitu ketat, ada ruang yang akhirnya digunakan untuk aktiviti ekonomi di luar sektor formal,” tambahnya.
Bagaimanapun, semua kenyataan tersebut merupakan pandangan peribadi dalam bentuk luahan di media sosial dan tidak disertakan dengan data atau bukti rasmi.
Perbincangan ini turut mengundang reaksi pelbagai, ada yang melihatnya sebagai isu penguatkuasaan, manakala sebahagian lain mengaitkannya dengan struktur ekonomi serta kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
Baca juga:








