Pelaburan Berakar Di Malaysia, Angkat PKS Dan Ekonomi Rakyat – Anwar

KUALA LUMPUR: Setiap pelaburan yang masuk ke Malaysia mesti memberi kesan langsung kepada rakyat dan ekonomi tempatan, bukan sekadar angka di atas kertas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pelaburan perlu membina keupayaan syarikat tempatan, meningkatkan kemahiran anak watan serta memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pelaburan yang masuk ke negara kita mesti berakar di bumi Malaysia, membina keupayaan syarikat tempatan, meningkatkan kemahiran anak watan, memperkukuh PKS dan akhirnya mengangkat darjat hidup rakyat terbanyak,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 12 di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada Jumaat.

Beliau turut berkata, Malaysia sedang mencatat perkembangan ekonomi positif daripada segi pertumbuhan, pelaburan dan pasaran modal.

Namun katanya, pencapaian itu tidak boleh dijadikan alasan untuk berpuas hati kerana fokus utama adalah kesejahteraan rakyat.

“Kejayaan ekonomi tidak boleh diukur semata-mata melalui angka besar di atas kertas,” katanya.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi mesti dirasai oleh semua lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil dan golongan muda.

“Pertumbuhan mesti dirasai peniaga kecil, pekerja biasa, anak muda yang mencari pekerjaan bermaruah serta rakyat di desa dan pedalaman,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.

Tambah beliau, Malaysia kini berdepan perubahan arus modal global yang menuntut ketahanan ekonomi lebih kukuh.

“Reformasi, tatakelola, disiplin fiskal dan pembinaan keupayaan nasional mesti terus diperkukuh.

“Insya-Allah, kemajuan negara bukan sahaja pada angka makro, tetapi benar-benar dirasai rakyat,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat