Kerajaan perketat kawalan platform media sosial, fokus akaun palsu 3R

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini memperketat kawalan keselamatan siber dengan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada platform media sosial untuk membendung penyebaran kandungan berbahaya dan akaun palsu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, meskipun Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedia ada masih memadai, pendekatan baharu diperkenalkan menerusi dua kod khusus yang mula dikuatkuasakan pada 22 Mei lalu bagi menjamin keselamatan kanak-kanak dalam talian.

Menurut beliau, garis panduan lebih ketat kini perlu dipatuhi semua penyedia platform media sosial.

Katanya, pihaknya mengesan kewujudan banyak akaun palsu yang diwujudkan khusus untuk menghasilkan serta menyebarkan kandungan berunsur 3R melibatkan Raja, agama dan institusi diraja sebelum akaun tersebut ditutup semula.

“Kita melihat banyak akaun palsu diwujudkan khusus untuk menghasilkan kandungan berkaitan 3R. Selepas kandungan itu disebarkan, akaun berkenaan terus ditutup. Ini menunjukkan wujud elemen jenayah, umpama tindakan ‘melempar batu sembunyi tangan’.

“Dalam hal ini, pihak berkuasa akan meneliti respons daripada platform media sosial. Sebahagian platform seperti TikTok telah menerima notis tuntutan daripada MCMC, manakala platform lain termasuk Meta memberikan kerjasama yang baik,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac dan Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP), Khairul Rizal Datuk Abu Samah.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata kerajaan turut memberi perhatian serius terhadap peningkatan akaun palsu yang menyalahgunakan nama serta imej institusi diraja dan kerabat diraja.

“Saya melihat trend ini semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Perhatian kita bukan sahaja terhadap kandungan, tetapi juga isu akaun palsu yang cuba menyamar menggunakan nama serta imej Raja-Raja Melayu dan kerabat diraja.

“Di sinilah pihak platform perlu memainkan peranan penting untuk mengekang akaun-akaun palsu seumpama itu daripada terus berleluasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menuntut agar pengurusan platform media sosial terlibat segera mengemukakan penjelasan mengenai langkah konkrit yang akan diambil bagi membendung penyebaran kandungan berunsur 3R dan penyamaran identiti di media sosial.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat