KUALA LUMPUR: Sensitiviti Islam dan Melayu mesti diutamakan dalam cadangan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab hiburan, tegas Parti Amanah Negara (AMANAH).
Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan AMANAH melalui pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim, menuntut penjelasan terperinci berhubung bentuk hiburan yang dimaksudkan serta garis panduan pelaksanaannya bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Gesaan itu dibuat susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, mengenai potensi Kuala Lumpur sebagai hab hiburan yang kini menjadi perbincangan umum.
Menurut Wan Anwar, persoalan asas perlu diperjelaskan terlebih dahulu agar tidak timbul tafsiran berbeza terhadap hala tuju cadangan tersebut.
“Apakah bentuk hiburan yang dimaksudkan? Apakah skala, kandungan, garis panduan dan kawalan yang akan digunakan?” soalnya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, dalam konteks Malaysia, sebarang pembangunan termasuk sektor hiburan tidak wajar dilihat dari sudut ekonomi atau komersial semata-mata.
“Dalam konteks Malaysia, sebarang aktiviti termasuk berkaitan hiburan awam tidak boleh dilihat dari sudut ekonomi, pelancongan atau komersial semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta sensitiviti masyarakat Melayu perlu menjadi pertimbangan utama dalam setiap dasar berkaitan hiburan dan budaya di ibu negara.
Dalam masa sama, parti itu berpandangan Kuala Lumpur sebagai ibu negara mesti kekal mencerminkan nilai Perlembagaan, adab ketimuran serta keharmonian masyarakat majmuk.
“Dialog terbuka amat penting supaya pembangunan sektor hiburan tidak menjadi punca ketegangan, sebaliknya dapat dibentuk dalam kerangka yang seimbang, bertanggungjawab dan menghormati kedudukan Islam, orang Melayu serta kepelbagaian masyarakat Malaysia,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan dengan pihak menteri bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta bertukar pandangan secara profesional berhubung cadangan berkenaan.








