PH lancar jentera PRN Johor di Batu Pahat esok

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dalam satu majlis yang dijadual berlangsung di Dewan Sekolah Tinggi Cina, Batu Pahat, malam esok.

Majlis pelancaran yang dijangka bermula pada jam 8 malam itu bakal dihadiri Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Pengerusi PH, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Menerusi satu hantaran di Facebook, PKR Batu Pahat mengajak rakyat Johor hadir bagi memeriahkan pelancaran jentera berkenaan.

Menurut kenyataan itu, rakyat Johor disifatkan sudah bersedia menghadapi pilihan raya dan menentukan masa depan negeri.

“Johor tidak takut berdepan pilihan raya. Johor tidak akan berdiam diri apabila masa depan negeri dipertaruhkan.

“Johor sudah bersedia untuk menentukan hala tuju negeri ini.

“Penuhkan dewan, gegarkan Batu Pahat dan hantar mesej bahawa rakyat Johor sudah bersedia,” menurut kenyataan berkenaan pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bagi memberi laluan kepada PRN.

Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan pilihan raya negeri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat