PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan keputusan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) bertarikh 1 Ogos 2024 berhubung satu aduan gangguan seksual melibatkan penyebaran imej intim tanpa kebenaran oleh bekas teman lelaki seorang wanita.
Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), keputusan itu disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh mekanisme keadilan bagi mangsa gangguan seksual khususnya dalam kes yang berlaku di ruang digital.
“Melalui Award tersebut, TAGS telah memerintahkan responden untuk membuat pernyataan permohonan maaf secara bertulis kepada pengadu, menghadiri sesi kaunseling dan membayar ganti rugi sebanyak RM60,000 kepada pengadu,” menurut kenyataan itu.
Mahkamah Tinggi turut berkata, keputusan berkenaan memperkukuh peranan TAGS sebagai saluran alternatif yang cepat, mudah dan berkesan dalam memberikan remedi kepada mangsa gangguan seksual.
Untuk info, TAGS ditubuhkan pada 8 Mac 2024 di bawah KPWKM selaras dengan Seksyen 3 Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) bagi mendengar dan memutuskan aduan gangguan seksual yang berlaku di Malaysia selepas tarikh tersebut.
Penubuhan tribunal ini dilihat sebagai langkah penting dalam usaha negara memperkukuh perlindungan terhadap mangsa serta mewujudkan masyarakat yang lebih selamat dan bermaruah.
KPWKM turut menyeru mangsa gangguan seksual sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal supaya tampil membuat aduan kepada TAGS.
Orang awam boleh menghubungi Talian Kasih 15999, WhatsApp 019-2615999 atau melayari portal rasmi tags.kpwkm.gov.my/portal untuk maklumat lanjut.








