Ibu muda pengsan anak setahun lemas depan mata

Seorang ibu muda dipercayai beberapa kali pengsan akibat tidak mampu menahan sedih apabila tidak mampu berbuat apa-apa ketika anaknya berusia setahun tiga bulan terkapai-kapai lemas akibat terjatuh ke dalam paya sedalam 10 meter di Taman Rantau, Rantau Panjang, Kelantan.

Sebelum kejadian, ibu mangsa, Nabihah Che Muda, 21, bersama mangsa, Firdaus Mohd. Faizal berkunjung ke kedai makan salah seorang ahli keluarga mereka untuk membersihkan premis selepas terjejas akibat banjir.

Kata, Nabiha, ketika dia sedang leka membersihkan ruang kedai, dia panik apa­bila tidak nampak kelibat anaknya sudah hilang daripada pandangannya.

Tambahnya lagi, anaknya baru pandai bertatih dan berkemungkinan terjatuh ke dalam paya ketika berjalan bersendirian.

“Saya cuak dan terus pusing ke belakang kedai dan nampak tangan Firdaus terkapai-kapai dalam paya itu.

“Saya nak capai tanga anak saya, tapi tak sampai, jadi saya terus panggil sepupu untuk telefon pihak penyelamat,” ujarnya memetik laporan Kosmo.

Dia juga tidak me­nyangka Firdaus akan pergi untuk selama-lamanya selepas pihak bomba berjaya menemui mayat anaknya dan membawa ke atas.

Sementara itu, Pegawai Operasi Pegawai Bomba Kanan I, Syamsul Faizal Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.21 tengah hari.

Menurutnya, mangsa ditemui tidak jauh dari di lokasi dia terjatuh selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan selama satu jam 39 minit.

“Mayat mangsa dijumpai di dalam paya tersebut pada kedalaman hampir 10 meter. Mayat bayi tersebut diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat