PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed, Abu Dhabi pada Isnin bagi memulakan lawatan khas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), atas jemputan rasmi Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Baginda, pesawat khas Baginda mendarat pada pukul 11.45 pagi waktu tempatan, menandakan permulaan rangka lawatan rasmi yang dijadual berlangsung selama beberapa hari.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda disambut dengan penuh penghormatan oleh Menteri Negara di Kementerian Luar Negeri UAE, Saeed Mubarak Al Hajeri.
Turut hadir menyambut ketibaan ialah Duta Besar Malaysia ke UAE, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.
“Lawatan itu merupakan kunjungan julung kali Sultan Ibrahim ke UAE sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong, mencerminkan hubungan erat dan saling menghormati antara kedua-dua negara.
“Kunjungan rasmi itu dijangka membuka ruang kepada perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai pelbagai aspek hubungan dua hala termasuk kerjasama dalam bidang ekonomi, pelaburan dan kebudayaan,” menurut hantaran itu.
Hubungan diplomatik Malaysia–UAE yang telah terjalin sejak sekian lama terus diperkukuh melalui lawatan peringkat tertinggi seperti ini selari dengan komitmen kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama strategik demi kepentingan bersama.








