MELAKA: Kekuatan sebenar parti terletak pada semangat petugas-petugas yang terus bekerja tanpa mengenal penat lelah demi perjuangan, kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Berucap pada Program Temu Rapat bersama ahli-ahli AMANAH Melaka, Mohamad Sabu menyampaikan penghargaan kepada barisan petugas yang selama ini bertungkus lumus di lapangan.
“Dapat jumpa sendiri petugas-petugas parti yang selama ni bertungkus lumus di lapangan.
“Saya nak ucap terima kasih kepada semua, tanpa kenal penat, tanpa banyak soal, terus bekerja demi perjuangan. Inilah kekuatan sebenar kita,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin hampir, justeru jentera parti perlu diperkemas daripada segi strategi dan gerak kerja di akar umbi.
“Saya juga nak ingatkan, sekarang masa untuk kita perkemas jentera.
“PRN Melaka makin dekat, jadi semua kena bersedia, dari strategi sampai gerak kerja di bawah. Kita tak boleh ambil mudah,” ujarnya.
Mohamad berkata, PRN bukan sekadar soal menang atau kalah tetapi berkait rapat dengan masa depan negeri dan rakyat.
“PRN ni bukan sekadar soal menang kalah, tapi soal masa depan negeri dan rakyat.
“Sebab itu kita kena bergerak sebagai satu pasukan, bersatu, berdisiplin dan fokus,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh mengenai krisis tenaga global yang memberi kesan kepada ekonomi negara.
Katanya, rakyat perlu berjimat cermat dan mengurus perbelanjaan dengan baik bagi mengelakkan pembaziran.
“Kos akan meningkat, jadi saya nak pesan, kita semua kena berjimat cermat, urus perbelanjaan dengan baik dan elakkan pembaziran,” jelasnya.
Beliau turut menutup pesanan dengan keyakinan bahawa cabaran yang dihadapi mampu ditangani sekiranya saf parti terus diperkukuh dan semangat perjuangan dikekalkan.
“Cabaran memang ada, tapi kalau kita kuatkan saf dan terus bekerja, insya-Allah kita mampu hadapi. Kita boleh!” tegasnya.








