Anwar Gesa AS Segera Bebas Presiden Venezuela

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya segera membebaskan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro bersama isterinya tanpa sebarang kelewatan.

Dalam satu kenyataan tegas di Facebook beliau pada Ahad, Anwar menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan di Venezuela, sambil menyifatkan penahanan Maduro dan isterinya sebagai tindakan luar biasa serta serius hasil operasi ketenteraan AS.

“Perbuatan sedemikian jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan boleh dianggap sebagai penggunaan kekerasan secara tidak sah terhadap sebuah negara berdaulat,” katanya.

Anwar berkata, walau apa pun alasan yang diberikan AS, penyingkiran secara paksaan terhadap ketua kerajaan yang sedang memerintah melalui campur tangan pihak luar akan mencipta ‘preseden’ berbahaya.

“Ia menghakis batas asas dalam penggunaan kuasa antara negara dan melemahkan kerangka undang-undang yang menjadi tunjang kepada ketertiban antarabangsa,” katanya.

Beliau menekankan bahawa hanya rakyat Venezuela berhak menentukan masa depan politik negara mereka sendiri.

“Sejarah telah berulang kali membuktikan bahawa perubahan kepimpinan secara mendadak melalui kekerasan dari luar sering membawa lebih banyak mudarat daripada kebaikan.

“Apatah lagi bagi sebuah negara yang telah lama bergelut dengan kesukaran ekonomi dan tekanan sosial yang mendalam,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia berpendirian bahawa penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara adalah asas utama kepada hubungan aman antara negara.

“Pendekatan yang membina melalui dialog, keterlibatan diplomatik dan usaha meredakan ketegangan kekal sebagai jalan paling berwibawa.

“Ianya bagi melindungi keselamatan orang awam serta memberi ruang kepada rakyat Venezuela merealisasikan aspirasi sah mereka tanpa menambah penderitaan sedia ada,” katanya.

Anda Mungkin Berminat