KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin ASEAN agar memberi perhatian serius terhadap suara golongan muda sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh amalan demokrasi dan tadbir urus inklusif di rantau ini.
Menurut beliau, ASEAN telah menyediakan ruang buat wanita serta anak muda menyatakan pandangan, sesuatu yang tidak wujud di banyak negara lain.
“Pada setiap mesyuarat kepemimpinan ASEAN, kita mesti duduk dan meneliti pandangan anak muda. Pemimpin perlu diam dan mendengar apa yang mereka suarakan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung ke-46 Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), pada Khamis.
Anwar berkata, wakil rakyat dan pemimpin kerajaan bertanggungjawab mendengar serta mewakili aspirasi sebenar rakyat secara terhormat.
Beliau menegaskan demokrasi tidak hanya bermaksud mengadakan pilihan raya setiap beberapa tahun, tetapi juga membenarkan parti pemerintah dipersoal, dikritik dan dinilai oleh masyarakat.
“Kuasa cenderung untuk disalahgunakan. Lebih besar kuasa, lebih besar risiko rasuah. Sebab itu kita mesti sentiasa berhati-hati dan pastikan pemimpin dipertanggungjawabkan,” katanya.
Perdana Menteri memberi peringatan bahawa ramai kerajaan tumbang akibat kecenderungan pemimpin menumpuk kekayaan dan menerima rasuah sebagai budaya.
Beliau turut merujuk peranan besar anak muda dalam protes antirasuah di Indonesia dan Nepal baru-baru ini, yang memperlihatkan bagaimana suara generasi muda mampu mencetuskan perubahan politik.
Baca juga:








