SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menegaskan mesyuarat yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan pada Selasa bukan bertujuan membincangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya hanya memfokuskan kepada persediaan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun itu merupakan mesyuarat biasa yang diadakan susulan perkembangan politik semasa selepas pembubaran DUN Johor.
Katanya, tanggapan bahawa mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat khas bagi membincangkan pembubaran DUN Negeri Sembilan adalah tidak tepat.
“Ia adalah mesyuarat biasa, bukan mesyuarat khas. Ia dinamakan tergempar kerana notis singkat selepas pembubaran DUN Johor.
“Mesyuarat berlangsung dalam suasana yang harmoni dengan semangat keluarga PH Negeri Sembilan. Kami membincangkan kesiapsiagaan jentera pilihan raya PH untuk PRN yang bakal menjelang,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, kehadiran beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin Pakatan Harapan ke Kediaman Rasmi Menteri Besar sejak jam 9.30 pagi menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan bahawa kerajaan negeri sedang mempertimbangkan pembubaran DUN.
Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah sebelum ini memaklumkan bahawa tiada sidang media akan diadakan susulan mesyuarat berkenaan.
Beliau turut mengesahkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dijadual menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Rabu, sebagaimana amalan biasa sebelum Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) berlangsung.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Susulan itu, tumpuan kini terarah kepada Negeri Sembilan berikutan pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan negeri berkenaan turut mengadakan pilihan raya lebih awal, namun setakat ini tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh kerajaan negeri berkaitan perkara tersebut.
PH Negeri Sembilan bagaimanapun menegaskan fokus utama ketika ini adalah memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi sebarang kemungkinan menjelang pilihan raya akan datang.
Baca juga:








