Cubaan jatuhkan Kerajaan perlu waspada merentasi parti – PM Anwar

Oleh: Tyah Helmi

PARLIMEN | Dakwaan cubaan menjatuhkan Kerajaan Madani serta ancaman terhadap kestabilan negara kini masih berjalan dan dikendalikan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati wujud perancangan yang disusun sejak Ogos 2024 sehingga menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, dipercayai berpengkalan di luar negara dengan dana yang besar serta didukung individu tempatan.

Menurut beliau, strategi yang dirangka didakwa bertujuan mempertikai kewibawaan Kerajaan dan usaha-usaha yang dilaksanakan, termasuk melalui pengaruh antarabangsa.

“Berdasarkan maklumat awal dan dokumen yang diperoleh, terdapat beberapa siri pertemuan di dalam dan luar negara sepanjang 2025 melibatkan syarikat dan tokoh tertentu. Namun, perkara ini masih dalam siasatan dan saya tidak cenderung untuk mendedahkan nama atau lokasi terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Perdana Menteri menjelaskan, antara cubaan menjatuhkan Kerajaan Madani yang dikenal pasti termasuk usaha mendapatkan sokongan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, mengadakan ‘International Round Table’, serta menggerakkan ‘international push’ bagi membentuk naratif tertentu terhadap negara.

Beliau turut menyentuh dakwaan bahawa gerakan itu didorong susulan siasatan rasuah berskala besar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Strategi mereka termasuk menghubungi media asing, mempertikai langkah kerajaan khususnya melibatkan SPRM, serta menggunakan jaringan antarabangsa untuk membentuk persepsi negatif terhadap Malaysia dan Kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, terdapat juga perancangan untuk mempengaruhi soalan-soalan yang dibangkitkan di Parlimen, menerbitkan analisis undang-undang bagi mempertikai tindakan kerajaan, selain menggunakan hubungan dengan pihak tertentu termasuk institusi kewangan bagi menyebarkan naratif berkenaan.

Sehubungan itu, PDRM telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang melibatkan kesalahan berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

Anwar turut menegaskan bahawa isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan kewaspadaan merentas parti.

“Kesiapsiagaan dan kewaspadaan perlu, tanpa mengira kepentingan parti atau kelompok. Jangan sehingga keadaan menjadi tidak terkawal baharu tindakan diambil,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat