Dakwa “Diprank” Presiden STAR, Ketua Exco Wiramuda STAR Umum Tanding Bebas di DUN

KOTA KINABALU: Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Jordan Jude Ellron mengumumkan perletakan jawatan serta-merta dan menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata keputusan itu dibuat kerana kecewa dengan kepimpinan parti yang didakwa tidak memberi ruang kepada golongan muda untuk diketengahkan sebagai calon pada PRN kali ini.

“Tiada satu pun kerusi diberi peluang kepada Exco Wiramuda STAR untuk bertanding. Tiada anak muda diberi ruang, semuanya hanya pejuang lama,” katanya.

Menurut beliau, Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, sebelum ini mengumumkannya sebagai bakal calon DUN Tulid pada satu majlis di Sokid Villa, Oktober lalu, dan pengesahan turut dibuat dalam mesyuarat Biro Politik parti.

Namun, katanya, janji itu tidak ditunaikan walaupun beliau telah mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menyediakan bahan kempen dan membayar deposit pencalonan.

“Bahan kempen seperti baju dan bendera saya dermakan kepada calon-calon STAR lain. Belum tentu orang lain sanggup buat sebegitu,” katanya.

Jordan juga mendakwa Timbalan Exco Wiramuda STAR, Razidin Robert, yang diumumkan dua kali sebagai calon di DUN Bingkor, turut digugurkan walaupun telah disahkan Biro Politik.

Beliau berkata, walaupun pernah banyak berkhidmat di kawasan Pensiangan, segelintir pemimpin lama bersikap “toksik” dan menuduhnya pengkhianat parti.

Justeru, keputusan bertanding sebagai calon bebas dibuat bagi memberi peluang kepada rakyat menentukan kepimpinan di kawasan itu, sambil menasihati Jeffrey agar membuka mata supaya kesilapan sama tidak berulang terhadap generasi muda akan datang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat