Diskaun Saman Trafik Sehingga 70% Hingga Akhir Tahun

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan tawaran diskaun sehingga 70 peratus bagi saman trafik bermula 1 November hingga 30 Disember ini, sebagai peluang terakhir sebelum pelaksanaan sistem kompaun baharu yang lebih seragam pada awal 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dasar baharu itu akan diperkenalkan dengan tagline “The Less You Delay, The Less You Pay” atau “lebih cepat bayar, lebih rendah dibayar” bagi menggalakkan pesalah trafik menjelaskan saman lebih awal.

Menurut Saifuddin, antara 2022 hingga 2025, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengutip sebanyak RM640 juta hasil saman trafik, namun ramai masih menunggu tawaran diskaun sebelum membuat bayaran.

“Dalam tempoh peralihan ini, orang ramai boleh menjelaskan saman JPJ dan PDRM yang boleh dikompaun dengan potongan antara 50 hingga 70 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember,” katanya pada sidang media di Parlimen, pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kadar diskaun itu tidak terpakai bagi kesalahan tidak boleh dikompaun (Non-Compoundable) seperti tiada insurans, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan penggunaan LKM palsu.

Anthony pula memaklumkan bahawa kabinet pada 17 Oktober lalu memutuskan untuk menyeragamkan kadar dan kaedah pengeluaran kompaun trafik antara PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengelak kekeliruan dalam penguatkuasaan.

“Selama ini terdapat perbezaan kadar antara JPJ dan PDRM. Dengan pelarasan ini, kita mahu pastikan pendekatan penguatkuasaan lebih adil, konsisten dan tidak menimbulkan persepsi bahawa undang-undang jalan raya tidak seragam,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa mulai 1 Januari 2026, pesalah trafik yang menjelaskan saman dalam tempoh 1 hingga 15 hari akan menerima pengurangan 50 peratus, manakala bayaran antara 16 hingga 30 hari mendapat pengurangan 33 peratus.

Selepas 31 hingga 61 hari, kadar kompaun maksimum RM300 akan dikenakan, dan mereka yang gagal membayar selepas tempoh itu berisiko disenarai hitam.

Loke menjelaskan, sistem baharu ini menggantikan amalan diskaun bermusim yang dianggap tidak adil kepada mereka yang membayar tepat pada waktunya.

“Kita mahu ubah persepsi bahawa lebih baik tunggu diskaun baru bayar. Prinsip baharu ini beri ganjaran kepada mereka yang bertanggungjawab dan bayar awal,” ujarnya.

Orang ramai digalakkan menyemak dan menjelaskan saman trafik melalui aplikasi MySikap, MyJPJ, dan MyBayar PDRM, atau di kaunter dan kiosk agensi berkaitan sebelum 30 Disember ini bagi menikmati potongan berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat