KUALA LUMPUR: Dua gempa bumi lemah bermagnitud 2.9 telah menggegarkan Ranau, Sabah dan Mambong, Sarawak dalam tempoh kurang 12 jam pada Selasa lalu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, kejadian pertama dikesan di Ranau pada pukul 10.36 pagi dengan kedalaman 10 kilometer (km).
“Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kundasang, Ranau dan Kota Belud, Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, satu lagi gempa bumi dengan magnitud sama direkodkan di Mambong pada jam 10.33 malam hari yang sama, juga pada kedalaman 10km.
Katanya, pusat gempa dikenal pasti pada latitud 1.32 darjah utara dan longitud 110.39 darjah timur dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan sekitar Samarahan dan Serian, Sarawak.
Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang kerana kedua-dua kejadian tersebut dikategorikan sebagai gempa bumi lemah.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi yang sahih menerusi laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi jabatan atau menghubungi talian hotline 1300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.








