DUN Sulaman: Hajiji Berdepan Saingan 5 Penjuru PRN Sabah ke-17

TUARAN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman (N12) bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadual berlangsung pada 29 November ini.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga penyandang kerusi berkenaan, berdepan empat pencabar selepas pengesahan dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tuaran, Ibrahim Terki.

Antara yang mencabar beliau ialah seorang doktor perubatan, Dr Shahnon Rizal Thaijuddin, calon muka baharu mewakili Barisan Nasional (BN). Turut bertanding ialah:

  • Moktar Hussin (Parti Warisan)
  • Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah)
  • Tiaminah @ Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional)

Untuk proses penamaan, Hajiji dicadang oleh Datuk Abdul Kasim Razali dan disokong oleh Sylvia Beliggi.

Hajiji telah mempertahankan kerusi Sulaman sejak 1990 dan pada PRN16, Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu menang dengan majoriti 3,099 undi dalam saingan tiga penjuru.

Terdahulu, beliau tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Seri Sulaman sekitar jam 9 pagi, lengkap berbaju Melayu ungu dan diiringi penyokong sebelum menyerahkan borang pencalonan.

Dengan pengesahan kelima-lima calon, tempoh kempen selama 14 hari bermula secara rasmi sehingga 11.59 malam pada 28 November.

SPR menetapkan 15 November sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal berlangsung pada 25 November dan hari mengundi pada 29 November.

Seramai 1,784,843 pengundi layak menunaikan tanggungjawab pada PRN kali ini, terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera serta pasangan, dan 12,729 anggota polis bersama pasangan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat