KOTA KINABALU: Malaysia menyaksikan fenomena alam yang jarang berlaku apabila kawasan Substesen Panalaban, Taman Kinabalu, mengalami kejadian pembekuan ais pada Khamis.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Taman-Taman Sabah, pihak pengurusan memaklumkan fenomena itu berlaku pada ketinggian kira-kira 3,272.7 meter dari aras laut.
Fenomena unik itu dikaitkan dengan keadaan cuaca kering serta kelembapan udara yang rendah di sekitar Gunung Kinabalu sepanjang minggu ini.
“Keadaan tersebut menyebabkan penurunan suhu yang ketara di kawasan altitud tinggi, lalu mengakibatkan pembentukan ais pada permukaan tumbuhan dan persekitaran ‘base camp’ Panalaban,” katanya.
Menurut pihak pengurusan, pembekuan ais merupakan fenomena semula jadi yang lazim berlaku secara berkala di kawasan altitud tinggi Gunung Kinabalu khususnya ketika cuaca cerah dan kering dengan suhu menurun mendadak pada waktu malam hingga awal pagi.
Sehubungan itu, Taman-Taman Sabah menasihatkan agar pendaki, malim gunung, porter serta petugas di Panalaban sentiasa bersedia dengan pakaian sesuai untuk cuaca sejuk, mengekalkan tahap hidrasi badan dan mematuhi arahan keselamatan.
“Pihak Taman-Taman Sabah akan terus memantau perkembangan cuaca dan suhu di kawasan altitud tinggi bagi memastikan keselamatan pengunjung dan petugas sentiasa terjamin,” katanya.








