Flotila Gaza Lambang Solidariti Dunia Bela Palestin – Anwar

KUALA LUMPUR: Penyertaan aktivis antarabangsa termasuk dari Malaysia dalam misi flotila ke Gaza adalah simbol solidariti global menentang kezaliman Israel serta perjuangan membela hak rakyat Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keberanian mereka mencerminkan tanggungjawab bersama masyarakat dunia mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat.

“Genosid Israel terhadap rakyat Palestin wajar dikecam dengan tegas, bukan sekadar retorik politik. Ia jelas pencabulan hak asasi manusia yang menjejaskan keselamatan sosial global.

“Situasi ini menafikan hak rakyat Palestin terhadap keselamatan, maruah dan akses kepada perkhidmatan asas,” katanya ketika berucap pada Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Isnin.

Menurut Anwar, berdiam diri terhadap ketidakadilan sistemik dan kekejaman di Gaza hanya menjadikan perbincangan mengenai keselamatan sosial global tidak bermakna.

Beliau menegaskan, Malaysia konsisten mengecam pendudukan Zionis dan kolonialisme penempatan di Palestin, sekali gus membuktikan komitmen negara terhadap keadilan yang merentasi sempadan.

“Wacana berkesan mengenai keselamatan sosial dunia mesti mengiktiraf realiti ini. Apa yang diperlukan kini ialah visi baharu yang mencerminkan cabaran semasa dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat