KUANTAN: Angkatan Muda HARAPAN (AMH) Negeri Pahang kini memasuki era kepimpinan baharu selepas mesyuarat yang diadakan pada 13 Disember lalu menyaksikan barisan pemimpin muda dipilih sebulat suara untuk menerajui sayap anak muda Pakatan Harapan di negeri itu.
Mesyuarat tersebut memilih Ho Chi Yang, Ketua DAPSY Negeri Pahang, sebagai Ketua AMH Negeri Pahang yang baharu.
Turut dipilih ialah Mohd Hilmy Yakap, Ketua AMK Negeri Pahang, sebagai Timbalan Ketua AMH Negeri Pahang 1 serta Wan Muhammad Rahmat Wan Hashim, Ketua Pemuda AMANAH Negeri Pahang, sebagai Timbalan Ketua AMH Negeri Pahang 2.
Dalam kenyataan bersama, AMH Pahang merakamkan penghargaan kepada mantan ketua, Young Syefura Othman atas kepimpinan dan teladan beliau sepanjang menerajui AMH.
“Angkatan Muda HARAPAN Negeri Pahang ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Ketua Angkatan Muda HARAPAN Negeri Pahang, Young Syefura Othman, atas jasa beliau sepanjang menerajui Angkatan Muda HARAPAN Negeri Pahang serta teladan beliau yang menjadi inspirasi kepada ramai golongan belia untuk membawa perubahan kepada Negeri Pahang dan negara,” kata kenyataan itu.
Di bawah kepimpinan baharu, AMH Negeri Pahang menegaskan komitmen untuk meneruskan agenda reformasi khususnya memperkasa anak muda agar suara mereka terus didukung oleh Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan.
“Angkatan Muda HARAPAN Negeri Pahang, di bawah kepimpinan baharu, akan meneruskan agenda reformasi terutamanya dalam aspek memperjuangkan agenda memperkasa anak muda demi memastikan suara dan hak anak muda terus didukung oleh Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
AMH Pahang turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang atas kelulusan Belanjawan Negeri 2026 yang dianggap bukti prestasi cemerlang dalam mengurus pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Dalam masa sama, AMH Pahang mengecam tindakan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa terus menabur fitnah dan mengapi-apikan sentimen perkauman serta agama.
“Angkatan Muda HARAPAN Negeri Pahang menyeru anak muda tanpa mengira kaum untuk menolak politik perkauman yang toksik dan budaya fitnah demi membina Negeri Pahang dan Negara Malaysia yang harmoni, maju, dan progresif,” menurut kenyataan itu.







