Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diperkenalkan oleh kerajaan berpotensi memperkukuh aktiviti ekonomi rakyat dengan memperluaskan akses internet berkelajuan tinggi ke seluruh negara.
Menurut Pakar Ekonomi dari Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, capaian internet yang lebih luas membuka peluang kepada rakyat untuk terlibat dalam ekonomi digital yang melangkaui batas perdagangan tradisional.
“Kita tidak lagi terhad kepada jual beli secara fizikal. Perniagaan atas talian atau e-dagang membolehkan rakyat menawarkan barangan dan perkhidmatan kepada pasaran global,” katanya kepada Malaysia Bangkit ketika dihubungi.
Dr Ahmed Razman berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga mendapat manfaat daripada JENDELA yang membolehkan mereka memperluaskan pasaran dan meningkatkan daya saing dalam ekonomi digital.
“Dengan akses internet yang mantap, PMKS dapat kekal mampan dan berdaya saing dalam landskap ekonomi digital,” ujar beliau.
Beliau berkata, internet kini bukan sekadar kemudahan, tetapi keperluan asas yang sama seperti elektrik dan air.
Beliau turut mengimbau situasi semasa pandemik Covid-19 membuktikan bahawa perniagaan yang gagal beralih kepada platform digital mengalami kesukaran manakala yang berjaya menyesuaikan diri terus berkembang.
Namun, beliau menegaskan kejayaan transformasi digital PMKS bergantung kepada lebih daripada sekadar capaian internet termasuk pelan data berpatutan, peranti yang sesuai dan sokongan dana untuk menaik taraf operasi seperti sistem e-pembayaran dan perekodan transaksi.
Untuk info, JENDELA adalah langkah awal penting dalam membangunkan ekosistem digital yang menyeluruh dan perlu disokong dengan inisiatif tambahan agar manfaat digitalisasi dapat dinikmati sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat.