SHAH ALAM: Seramai 455 keluarga yang terkesan akibat insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, awal bulan ini, akan menerima bantuan sewaan rumah sebanyak RM2,000 sebulan untuk tempoh tiga bulan pertama.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.73 juta, meningkat berbanding 396 keluarga yang dimuktamadkan sebelum ini susulan permohonan dan siasatan tambahan.
“Bantuan RM2,000 sebulan ini akan diberi selama tiga bulan, dan bagi tempoh tiga bulan berikutnya pula, ia akan disalurkan kepada mereka yang masih memerlukan, sekitar Julai atau Ogos nanti,” katanya, dipetik.
Setakat ini, 214 keluarga telah menerima bantuan, manakala selebihnya masih menunggu proses pengesahan akaun dan dokumen.
Kerajaan negeri turut memberi jaminan untuk menanggung sewa rumah bagi tempoh tambahan enam bulan atau sehingga setahun bagi keluarga yang rumah mereka perlu dibina semula.
Bagi kediaman yang mengalami kerosakan kecil di bawah anggaran RM30,000, pemilik boleh melakukan pembaikan dahulu dan membuat tuntutan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau ketua kampung.
“Semua tuntutan akan dihantar secara mingguan kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya,” jelas Amirudin.
Proses pembinaan semula rumah akan dilaksanakan oleh Sime Darby di kawasan Putra Harmoni, manakala Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan menguruskan kediaman di Kampung Kuala Sungai Baru.
Kemudahan asas seperti sistem pendawaian, lampu dan kipas akan disediakan, namun aksesori tambahan tidak termasuk dalam pembiayaan.