Insiden tembakan disyaki bermotif balas dendam terhadap ketegasan AKPS

BUKIT KAYU HITAM: Insiden tembakan terhadap kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir, dipercayai berkait dengan tindakan penguatkuasaan tegas agensi itu sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata beliau tidak menolak kemungkinan wujud pihak yang terjejas susulan operasi berkenaan sehingga mencetuskan ancaman terhadap pegawai dan anggota.

Menurutnya, risiko ancaman sudah dijangka dan beliau sebelum ini telah mengingatkan komander serta anggota supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang ugutan jenayah.

“Kita sudah ambil maklum mengenai risiko ini, namun tidak menjangka ia sampai ke tahap kejadian tembakan,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Khamis.

Beliau berkata, sepanjang 14 bulan penubuhannya, AKPS melaksanakan tugas dengan komitmen dan integriti tinggi, sekali gus memberi tekanan kepada sindiket yang sebelum ini bebas menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang.

“Apabila kegiatan haram semakin sukar dilakukan, sudah tentu ada tindak balas daripada pihak tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily memaklumkan, AKPS Bukit Kayu Hitam baru-baru ini merekodkan rampasan tertinggi barangan seludup bernilai lebih RM3.1 juta menerusi Ops Bersepadu yang dilaksanakan dari 15 Januari hingga 15 Februari lalu.

Katanya, kejayaan itu merupakan rekod baharu bagi pintu masuk berkenaan dan mungkin meningkatkan risiko terhadap pegawai bertugas.

Beliau turut memaklumkan AKPS mendapat sokongan penuh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, serta Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, termasuk dalam usaha memperkukuh aspek keselamatan agensi.

Menurutnya, antara penambahbaikan yang dicadangkan ialah membekalkan senjata api dan jaket kalis peluru kepada pegawai AKPS bagi menjamin keselamatan mereka ketika bertugas.

Orang ramai juga diminta tidak bimbang kerana kejadian itu bersifat terpencil dan tidak melibatkan awam, manakala operasi di ICQS Bukit Kayu Hitam berjalan seperti biasa.

Mengulas keadaan Mohd Nasaruddin, beliau berkata pegawai itu berada dalam keadaan selamat dan stabil serta kekal bersemangat untuk meneruskan tugas.

Dalam kejadian kira-kira 5.40 pagi semalam, kenderaan Proton X70 dipandu Mohd Nasaruddin ditembak di susur masuk ke Masjid Al Muhajirin Bukit Kayu Hitam, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia–Thailand.

Sementara itu di Putrajaya, AKPS dalam satu kenyataan menegaskan insiden berkenaan tidak akan melemahkan semangat warganya, sebaliknya mengukuhkan iltizam untuk terus bertugas secara berani dan profesional demi keselamatan sempadan negara.

AKPS menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman dan akan mengambil tindakan tegas selaras undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan serta kedaulatan pintu masuk negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat