PETALING JAYA: Usaha memperkukuh tatakelola, integriti serta agenda reformasi institusi negara menjadi teras penting dalam membina Malaysia yang lebih adil, telus dan berdaya saing, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman, pada Khamis.
“Integriti bukan sekadar tuntutan dalam perkhidmatan awam tetapi asas penting bagi menjamin keyakinan rakyat, menarik pelaburan berkualiti serta menentukan masa depan negara yang lebih mampan,” katanya.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan terus memperkasakan SPRM sebagai sebuah institusi yang berwibawa dan dihormati dalam usaha membanteras rasuah tanpa kompromi.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkasakan SPRM sebagai institusi yang berwibawa dan dihormati dalam usaha membanteras rasuah tanpa kompromi demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang,” katanya.
Pada 13 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu Datuk Seri Abdul Halim Aman memulakan tugas secara rasminya.
Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan perkhidmatan selepas 42 tahun berkhidmat dalam SPRM.








