JAS Laksana Lebih 5,000 Pemeriksaan, Kutip Denda RM4.59 Juta Kes Pencemaran

PETALING JAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan lebih 5,000 pemeriksaan di seluruh negara dengan kutipan denda berjumlah RM4.59 juta bagi kesalahan pencemaran alam sekitar sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Dalam kenyataan pada Khamis, JAS memaklumkan sebanyak 5,074 pemeriksaan telah dijalankan ke atas 4,339 premis di bawah penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi tempoh 1 Januari hingga 30 April.

“Berdasarkan pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan, JAS telah mengambil sebanyak 3,149 tindakan penguatkuasaan susulan terhadap pihak yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” menurut kenyataan itu.

Tindakan tersebut merangkumi notis arahan, kompaun, penahanan operasi kelengkapan, penggantungan lesen, perintah larangan serta kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan.

“Selain itu, sebanyak 148 kesalahan telah selesai pendakwaan di mahkamah dan disabitkan kesalahan dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM4,598,500 serta hukuman penjara sehari,” kata kenyataan itu lagi.

Sepanjang tempoh sama, JAS turut melaksanakan 1,906 operasi penguatkuasaan pelepasan asap kenderaan bermotor melibatkan pemeriksaan terhadap 137,722 kenderaan di seluruh negara.

Selain itu katanya, sebanyak 811 pemeriksaan dijalankan ke atas projek yang mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi memastikan pematuhan syarat ditetapkan.

“Sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini, JAS telah menerima sebanyak 6,252 aduan pencemaran alam sekitar dan setiap aduan disiasat mengikut tempoh piagam pelanggan yang telah ditetapkan,” jelas kenyataan itu.

Dalam usaha membanteras kemasukan buangan terjadual dari luar negara, JAS melaksanakan 51 operasi di pelabuhan utama melibatkan pemeriksaan 702 kontena.

Hasil pemeriksaan mendapati ratusan kontena mengandungi buangan terjadual termasuk sisa elektronik dengan sebahagiannya diarahkan dihantar pulang ke negara asal.

Selain itu, sebanyak 3,237 siasatan pembakaran terbuka dijalankan, melibatkan pemantauan terhadap 494 titik panas di seluruh negara.

JAS turut memanfaatkan teknologi dron dengan 409 penerbangan bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan pencemaran alam sekitar.

Anda Mungkin Berminat