‘Keajaiban Milan’ Bakal Sertai United

MANCHESTER United dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma, selepas Paris Saint-Germain (PSG) bersetuju dengan perpindahan bernilai £34.9 juta (kira-kira RM212 juta) bagi membawa masuk penjaga gol Lille, Lucas Chevalier.

Menurut laporan The Mirror, masa depan Donnarumma bersama PSG kini menjadi tanda tanya selepas rundingan kontrak baharu bersama kelab juara Eropah itu menemui jalan buntu.

Kontrak semasa Donnarumma akan tamat pada musim panas tahun hadapan dan PSG tidak mahu kehilangannya secara percuma.

Langkah PSG menandatangani Chevalier dilihat membuka ruang kepada United untuk bertindak. Pengurus baharu United, Ruben Amorim, dikatakan sedang mencari penjaga gol baharu yang mampu mencabar Andre Onana, yang prestasinya musim lalu sering dipersoalkan.

United juga dikaitkan dengan penjaga gol muda Royal Antwerp, Senne Lammens, tetapi Donnarumma yang jauh lebih berpengalaman dilihat sebagai pilihan lebih kukuh jika mereka mahu pengganti terus buat Onana.

Menurut laporan The Mirror, Donnarumma secara peribadi telah membincangkan kemungkinan berhijrah ke England bersama rakan sepasukannya di skuad kebangsaan Itali.

Beberapa kelab besar lain juga dikaitkan dengan Donnarumma, termasuk Manchester City dan Chelsea, manakala kelab Turki, Galatasaray, dilaporkan telah membuat tawaran rasmi. Namun begitu, minat City dilihat merosot selepas mereka menandatangani semula James Trafford dari Burnley dengan harga £27 juta.

Dalam satu temu bual bersama Sky Italia pada 9 Jun lalu, Donnarumma menyatakan keinginannya untuk terus kekal bersama PSG.

“Keutamaan saya adalah kekal di PSG. Saya tidak fikir akan ada masalah dalam rundingan,” katanya.

Namun begitu, ejennya Enzo Raiola berkata walaupun mereka sedang berunding dengan PSG, tiada jaminan masa depan pemain itu kekal di Paris.

“Dia selesa di Paris dan kami sedang bekerja ke arah lanjutan kontrak. Tapi saya tidak menolak minat kelab besar lain, termasuk dari England,” kata Raiola kepada Radio CRC seperti dipetik oleh Calciomercato.


 Buat masa ini, sangat sukar untuk lihat Donnarumma kembali ke Serie A. Projek sukan di Itali masih belum cukup meyakinkan.

Kelab Itali seperti Napoli juga dikaitkan dengan Donnarumma, namun Raiola menepis spekulasi itu sebagai fantasi semata-mata.

Dengan PSG bakal menyambut Chevalier, peluang untuk Donnarumma meninggalkan Paris semakin besar — dan Manchester United mungkin menjadi destinasi baharu untuk penjaga gol yang pernah digelar “keajaiban Milan” itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat