KUALA LUMPUR: Tiada rakyat Malaysia terjejas selepas sebuah pesawat Boeing 787‑9 milik Lufthansa mengalami kegagalan gear pendaratan ketika bersiap untuk berlepas di Lapangan Terbang Frankfurt pada 4 Jun, demikian disahkan oleh Kedutaan Malaysia di Jerman.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, kedutaan memaklumkan bahawa menurut maklumat daripada pihak berkuasa Jerman dan Lufthansa, pesawat berkenaan mengalami kegagalan gear pendaratan ketika berada di pintu pelepasan bagi persiapan penerbangan berjadual ke Los Angeles.
“Insiden berlaku sebelum proses menaiki penumpang.
“Pada masa kejadian, hanya kru Lufthansa dan kakitangan darat berada di dalam pesawat,” jelas kenyataan itu.
Beberapa kakitangan syarikat penerbangan dilaporkan cedera dan sedang menerima rawatan perubatan.
Agensi Berita Jerman (dpa) melaporkan bahawa beberapa pekerja cedera apabila pesawat Lufthansa itu ‘rebah’ ketika berada di pintu pelepasan di Lapangan Terbang Frankfurt dengan punca kejadian masih belum diketahui.








