Kempen Nurul Izzah lebih damai, membina – PKR Kepala Batas

PETALING JAYA: Pendekatan kempen lebih damai, berhemah dan membina menjadi faktor utama PKR Cabang Kepala Batas menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden Parti dalam pemilihan parti kali ini.

Ketua Cabang Kepala Batas, Zainuddin Mohamed menegaskan bahawa kempen yang menyerang pimpinan sendiri secara terbuka hanya akan melemahkan parti dan membuka ruang kepada musuh untuk memanipulasi perpecahan dalaman.

“Dalam menilai pendekatan kempen kedua-dua calon, saya lebih cenderung kepada pendekatan yang dibawa oleh Nurul Izzah. Ia bersifat damai, berhemah dan membina.

“Kritikan seharusnya disalurkan melalui saluran dalaman demi menjaga integriti dan kesatuan parti,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan perjumpaan rasmi bersama perwakilan Kongres Cabang yang berlangsung malam tadi.

Menyentuh isu persepsi ‘parti anak-beranak’, Zainuddin menolak dakwaan itu dengan menekankan bahawa tiada halangan dalam Perlembagaan parti terhadap mana-mana ahli bertanding, termasuk anak kepada Presiden.

“Adalah tidak adil untuk menafikan hak beliau (Nurul Izzah) atas dasar persepsi yang direka oleh pihak lawan mahupun kawan,” katanya lagi.

Berhubung cadangan debat terbuka oleh Rafizi, Zainuddin mengulas, debat hanya wajar jika dikawal secara adil dan berhemah, namun menyuarakan kebimbangan ia boleh menjadi medan perbalahan yang mencalarkan imej parti jika tidak ditangani dengan baik.

Jelas Zainuddin, selepas perbincangan dan penjelasan yang diberikan dalam perjumpaan itu, semua perwakilan yang hadir bersetuju sebulat suara menyokong pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden.

“Sokongan ini bukan bermaksud menolak jasa dan sumbangan Datuk Seri Rafizi Ramli, sebaliknya adalah hasil pertimbangan rasional apabila pilihan perlu dibuat.

“Kami berharap pertembungan ini dapat berlangsung dengan semangat kekeluargaan dan tidak melemahkan perpaduan dalaman parti,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat