PETALING JAYA: Keputusan kerajaan terhadap tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dijangka diumumkan selepas Mesyuarat Pusat Arahan Geoekonomi Negara (NGCC) Isnin depan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, keputusan itu akan dibuat selepas Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN esok (Khamis) serta perbincangan NGCC, sebelum rombongan diplomatik dihantar ke Washington.
“Maka pada hari Isnin kerajaan akan buat beberapa keputusan sebelum kita meminta rombongan bagi tujuan diplomasi dan juga perbincangan perdagangan dengan AS dihantar ke Washington.
“Tarikh tepat belum boleh saya sebut di sini tapi semua tertakluk kepada keputusan dan kelulusan jemaah menteri hasil daripada mesyuarat esok dan juga mesyuarat Isnin ini adalah sebahagian daripada langkah proaktif pihak kerajaan sebagai Pengerusi ASEAN,” katanya dalam sidang media pada Rabu.
Fahmi turut memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua negara ASEAN bagi membincangkan isu sama.
“Hasil daripada mesyuarat esok antara menteri-menteri Perdagangan ASEAN dan juga perbincangan Perdana Menteri bersama ketua-ketua negara ASEAN maka keputusan akan dibuat,” katanya.
Sementara itu, Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan mempengerusikan mesyuarat bersama menteri-menteri ASEAN di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) untuk membincangkan impak tarif AS terhadap aliran perdagangan dan kestabilan ekonomi serantau.
Untuk rekod, negara ASEAN paling terkesan dengan tarif baharu ialah Kemboja (49%), Laos (48%), Vietnam (46%) dan Myanmar (44%).
Malaysia dan Brunei masing-masing dikenakan tarif 24 peratus, manakala Filipina (17%) dan Singapura (10%).
Menurut dokumen Rumah Putih bertarikh 2 April, tarif asas 10 peratus mula berkuat kuasa pada 5 April, manakala tarif timbal balik individu yang lebih tinggi bermula hari ini, 9 April 2025.